Saturday, 31 March 2012

Bahasa Kasar

ENTRI 18

"Wei..korang ni lambat giler, aku tunggu dekat sejam dah ni,jalan tu cepat la sikit terhegeh-hegeh macam siput pun ade"
"Woi..sial, aku bukannya sengaja,"

Perbualan di atas dituturkan oleh sekumpulan remaja di stesen bas sewaktu bersama- sama saya menunggu bas untuk ke Kuala Lumpur. Pada pandangan saya, mereka dalam lingkungan pelajar menengah atasan.Saya hanya menggeleng kepala apabila mendengar cara tutur bicara remaja pada hari ini. Percakapan yang kasar dituturkan mereka tidak melambangkan kesopanan terutamnaya di depan khalayak.

Kamus Dewan Edisi ke-4~Bahasa yang tidak sopan atau tidak manis dituturkan.

Pendapat: Penggunaan bahasa kasar terutamanya dalam kalangan remaja kian meruncing di balik arus kemodenan pada masa kini. Nilai kesantuan semakin menghilang dalam komunikasi berkemungkinan disebabkan oleh pengaruh ibu bapa,persekitaran dan rakan sebaya. penggunaan bahasa kasar dapat menggambarkan keperibadian, sosiobudaya, dan asal- usul kita. Kadang- kala penggunaan bahasa kasar ini berkemungkinan boleh menyentuh sensitiviti atau perasaan orang lain. Oleh itu,peranan ibu bapa haruslah menunjukkan contoh yang baik apabila berinteraksi dengan anak- anak. Ibu bapa juga mestilah menegur anak meraka sewaktu kecil daripada menggunakan bahasa yang kasar.

Yang kurik itu kendi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa,

Tuesday, 27 March 2012

Bahasa Jiwa Bangsa

ENTRI 17


Assalamualaikum, semoga kita berada dalam keadaan sihat selalu. Perkongsian saya pada kali ini adalah mengenai bahasa yang membawa jiwa bangsa. Kata-kata ini saya ambil daripada pensyarah subjek Modal Insan dalam Pengajaran Kesusasteraan Melayu. Oleh itu, saya kongsikan bersama. Beliau mengatakan bahawa kita seharusnya memantapkan penguasaan terhadap bahasa Melayu dan saling mempelajari bahasa lain seperti bahasa Tamil, bahasa Mandarin, bahasa Iban, bahasa Inggeris, dan banyak lagi bahasa yang terdapat dalam negara kita yang majmuk. Beliau juga mengatakan bahawa bahasa Melayu telah pun menjadi bahasa dalam Perlembagaan Malaysia yang tetap. Dengan ini, pemantapan penggunaan bahasa Melayu dengan betul seharusnya diberi perhatian oleh masyarakat kita. Penguasaan bahasa lain juga perlu dipelajari untuk pemantapan sesebuah bangsa.


Pendapat: Pemantapan penggunaan bahasa Melayu secara baik seharusnya diamalkan oleh masyarakat di negara ini. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu merupakan bahasa warisan yang termaktub dalam Perlembagaan. Namun begitu, penguasaan bahasa masyarakat majmuk dalam negara ini seharusnya dititikberatkan masyarakat. Tanpa pengguasaan bahasa kaum lain kita tidak akan dapat menyelami nilai perpaduan secara mendalam. Dengan ini,kesedaran penguasaan bahasa lain atau bahasa ketiga seharusnya menjadi satu amalan untuk mencapai cabaran ‘Bahasa Jiwa Bangsa’.

Saturday, 24 March 2012

ENTRI 16:Konsep Rasa dalam Dialek Kelantan



Rasa Masam
a)      [#ɣebɛ᷈ #]
b)      [#puɣiʔ#]
c)      [#bdɔhɔ᷈ #]
d)     [#tuluh#]
Rasa masam [#puɣiʔ#] merupakan rasa masam yang terlampau masam. Kebiasaannya rasa masam [#puɣiʔ#] dikaitkan dengan rasa masam buah- buahan. Keempat- empat rasa ini merupakan kesejajaran yang membawa maksud yang sama dengan dengan rasa masam. Ungkapan ini secara harfiahnya lahir apabila rasa masam buah- buahan ini terkena pada lidah.
Konsep Rasa Masin
a)      [#pəɣaʔ#]
Konsep rasa masin dalam dialek Kelantan iaitu [#pəɣaʔ#] sering terkeluar daripada mulut penduduk negeri Kelantan apabila mencuba rasa yang masin dengan lidah. Kata [#pəɣaʔ#] timbul daripada penduduk negeri Kelantan menggunakan garam untuk memerap ikan untuk dijadikan ikan masin. Oleh itu, kata [#pəɣaʔ#] sebenarnya merupakan kata kerja yang diambil untuk merujuk rasa yang terlampau masin.
 Konsep Rasa Manis
a)      [#lətin#]
Rasa manis yang terlampau merujuk kepada rasa manis yang terlampau manis atau ‘kesangatan’. Kata  [#lətin#] dari segi fonetiknya boleh dianggap sebagai onomatopea atau tiruan bunyi yang dihasilkan oleh lidah dengan bahagian rongga mulut apabila terasa kemanisan yang amat sangat. Kebiasaannya, sebutan rasa manis [#lətin#] sering ditujukan untuk rasa manis bagi air dan makanan dalam masyarakat Kelantan.
Konsep Rasa Kelat                                       
a)      [#ddɔh#]
b)      [#paheʔ#
c)       [#bdɔʔɔh#]
Kata kelat leper mendukung konsep (kesangatan) iaitu rasa pahit yang amat sangat. Hal ini sejajar dengan perbuatan yang biasa dilakukan oleh seseorang apabila sesuatu yang kelat menyentuh deria rasanya. Rasa kelat leper ini sering dikaitkan dengan buah-buahan yang belum cukup matang. Sebaliknya tiruan bunyi tidak ada pada rasa kelat pahit. Dalam ungkapan ini terdapat kesangatan pada satu rasa tertentu yang diwujudkan dengan cara menggunakan kata yang merujuk kepada kata yang lain untuk menerangkannya. Dari segi fizikal rasa kelat yang amat sangat itu bersempadanan dengan rasa pahit.
                        Konsep Rasa Tawar
a)      [#ləmba#]
b)      [#ɛbɛ#]
c)      [#sə j̆oʔ#]
Kata [#ɛbɛ#] dalam tawar [#ɛbɛ#]  boleh berdiri sendiri dan merujuk kepada orang yang suka bercakap tanpa berfikir. Pada mulanya [#ɛbɛ#]  bermaksud perbuatan membuka mulut setiap waktu dan sejajar dengan perbuatan yang biasa dilakukan oleh seseorang apabila sesuatu yang tawar menyentuh deria rasanya. Kata [#ləmba#]dan [#səj̆oʔ#] turut membawa maksud yang sama dengan[#ɛbɛ#]. Kebiasaannya kata ini digunakan untuk menyatakan rasa tawar minuman dan masakan.
                        Konsep Rasa Pedas
a)      [#meneŋa# ]
Kata pedas [ #meneŋa#]  merujuk kepada pedas yang amat sangat. Situasi ini berlaku apabila rasa pedas itu terkena pada lidah. Kata pedas [#meneŋa# ] merupakan kata kerja yang terkeluar daripada mulut masyarakat Kelantan apabila rasa pedas terkena pada mulut.
                        Konsep Rasa Pahit
a)      [#ləpər#]
Kata pahit leper wujud apabila deria rasa lidah tersentuh rasa pahit apabila terkena lidah. Kebiasaannya rasa pahit ini disertai dengan rasa kelat. Masyarakat Kelantan juga mempunyai kebolehan menimbulkan persepsi terhadap melalui perubahan rasa ke rasa yang lain iaitu kelat ke pahit [#ləpər#].

Friday, 23 March 2012

Bahasa Tunjang Perpaduan

Situasi 15
Sewaktu saya ke Bidor mahu ke Bidor beberapa hari yang lepas, saya telah ke pasar pekan tersebut dengan nenek angkat saya atau dikenali sebagai opah oleh orang Perak. Ketika sedang memilih sayur, seorang mak cik  yang berketurunan India telah menegur opah dengan bahasa Tamil dan bahasa badannya menunjukkan dia ingin mengetahui hubungan saya dengan opah. Saya menegur dan bertanya semula kepada mak cik India dan opah perkara yang diperbual oleh mereka. Mak cik India tadi terus ketawa. Dia menerangkan maksud yang diujarkannya bersama opah tadi dengan mesra. Tanpa disangkan dia juga telah memberitahu saya maksud cucu dalam bahasa Mandarin mengikut dialek tempat tersebut.Pada detik itu, saya berasa kagum terhadap golongan masyarakat yang sudah berumur di kawasan itu yang boleh saling berinteraksi dan saling mempelajari bahasa masing-masing. 














Pendapat: Bahasa merupakan tunjang perpaduan bangsa. Berdasarkan situasi  di atas, saya berpandangan kita seharusnya cuba untuk mempelajari bahasa masyarakat majmuk di negara ini. Hal ini demikian kerana bahasa dapat merapatkan hubungan antara kaum. Sebagai contoh, masyarakat Cina dan India boleh memahami dan bertutur dalam bahasa Melayu walaupun agak pelat. Bagi pandangan saya, jika kita mampu bertutur dalam bahasa Mandarin dengan orang Cina ketika membeli barang yang mereka jual, mereka boleh bertolak ansur untuk menawarkan harga yang agak rendah kepada kita. Dengan ini, kita seharusnya mencuba untuk saling mempelajari bahasa masyarakat majmuk di negara ini selain memartabatkan bahasa ibunda, bahasa Melayu.

Selalu

Situasi 14
Assalamualaikum, harap kita semua berada dalam keadaan sihat selalu. Pada kali ini, saya ingin berkongsi satu kata iaitu, selalu yang boleh membezakan makna. Hal ini bermula apabila saya menemani sahabat saya yang berasal dari negeri Kelantan ke pusat latihan memandu untuk mendaftar kelas memandu. Setelah mengisi beberapa borang yang diperlukan, kerani di pusat tersebut meminta kawan saya membuat satu salinan fotokopi kad pengenalannya.

Kerani: Semua borong dah lengkap diisi. Cuma saya nak satu salinan kad pengenalan.
Syarifah: Salinan kad nale ni nok selalu ko?
Kerani: Apa?
Syarifah: Oo..maksud saya salinan kad pengenalan ni nak sekarang ke?
Kerani: Saya nak sekarang ni.

Pendapat: Kerani di pusat latihan memandu tidak memahami kata selalu kerana mengikut makna atau dari segi semantik kata selalu yang dituturkan oleh Syarifah membawa maksud sekarang mengikut pemahaman dialek Kelantan. Berkemungkinan juga kerani tersebut mengandaikan maksud kata selalu yang diujarkan Syarifah membawa makna tidak terhenti- henti dan terus- menerus. Keadaan ini menunjukkan terjadinya kekeliruan pemahaman maksud disebabkan oleh penggunaan dialek di luar daerah lingkungannya.






Tuesday, 20 March 2012

Lagu Kantoi

Situasi 13
Pernah tak anda mendengar lagu Kantoi nyayian Zee Avi? Sesiapa yang belum pernah mendengar lagu ini boleh mendengar melodi dan liriknya yang telah saya persembahkan dibawah. Pada pandangan anda, adakah lagu ini sedap didengar di cuping telinga, menyentuh perasaan, lagu kegemaran, lirik menggambarkan situasi anda yang terkantoi, dan lain-lain. Jawapannya terletak dalam benak fikiran anda sendiri. Perkara yang saya ingin kongsikan bersama anda adalah penggunaan dua bahasa dalam lirik lagu ini. Cuba kita teliti lagu ini menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris tanpa mempunyai kelicinan berbahasa. Saya cuba meringkaskan maksud iaitu, penggunaan kata bahasa Inggeris yang diselitkan di baris lirik ayat bahasa Melayu. Kita perhatikan lirik lagu baris kedua yang mempunyai ciri yang telah saya katakan iaitu, you kata you keluar pergi dinner.


                                    semalam i call you,  tak answer
                                 you kata you keluar pergi dinner
                               you kata you keluar dengan kawan you
                          but when i call Tommy he said it's wasn't true


                                   so i drove my car to Damansara
                               Tommy kata maybe you tengok bola
                                  tapi i sampai ...you, you tak ada
                                                 lagi la i jadi gila


                       so i called and i called sampai you answer
                          you kata sorry sayang tadi tak dengar
                           my phone was on silent, i was at the gym
                          tapi latar  belakang suara perempuan lain


                         


Pendapat-) Pada zaman sekarang terdapat lagu- lagu yang sering mencampurkan dua atau tiga bahasa dalam satu lagu. Kita tahu bahawa masyarakat pada zaman sekarang lebih terdedah dan digalakkan mempelajari banyak bahasa, iaitu bahasa kedua dan ketiga. Walau bagaimanapun, kita haruslah menggelakkan penggunaan bahasa Melayu yang tidak betul  dengan menyelitkan dua atau tiga patah kata dalam satu baris lirik lagu. Sebenarnya, penggunaan bahasa Inggeris juga boleh diguna dalam lagu ini namun mestilah menggunakan kelicinan ayat bahasa Inggeris sepenuhnya seperti baris ini, I've always known that your words were never true.Oleh itu, para penulis lirik haruslah peka terhadap penghasilan lirik lagu yang bakal dinyayikan kerana lirik lagu yang baik tidak hanya sedap didengar malahan mempunyai bahasa dan nilai yang boleh dijadikan pedoman hidup.
















                                    

Monday, 19 March 2012

Penggunaan Bahasa Standard

Situasi 12
Sebagai seorang bakal guru bahasa Melayu, kami mengambil subjek Pengajaran, Teknologi dan Penaksiran 2 yang memerlukan kami menggunakan bahasa standard yang betul semasa di dalam kelas. Kami yang terbiasa menggunakan bahasa tak formal dan bercampur dengan dialek yang pelbagai menimbulkan sedikit masalah semasa melakukan pengajaran mikro. Oleh itu, pensayarah kami selalu menasihatkan kami agar menggunakan bahasa yang betul. Contoh penggunaan bahasa tak standard yang digunakan oleh kami adalah dekat sini, ok, pastu, dan lain-lain. Sebagai contoh penggunaan kata sendi yang tidak betul, "Sila ambil kertas awak dekat sini,". Sepatutnya, "Sila ambil kertas anda di sini,".



Pengajaran mikro

Pendapat: Penggunaan bahasa standard seharusnya diguna pakai dalam situasi rasmi. Tambahan pula, sebagai seorang guru bahasa Melayu harus menunjukkan contoh teladan penggunaan bahasa yang betul serta baik kepada pelajar dan masyarakat dalam situasi formal. Kegagalan menggunakan bahasa Melayu dengan baik menunjukkan kelemahan seorang guru. Oleh itu, seorang guru mestilah berusaha untuk memperbaiki kelemahan penggunaan bahasa tak formal dan menggunakan ayat yang betul semasa mengajar.

Sunday, 18 March 2012

Bahasa SMS


Situasi 11 

Pagi tadi, saya telah menghadiri Kursus Pendidikan Pemandu. Kebetulan penceramah yang memberikan ceramah kepada kami menceritakan tentang pengalamannya tidak memahami bahasa SMS yang dihantar oleh kawannya.

                                               
Dia malu untuk bertanya orang yang berada disekelilingnya kerana bimbang perkara yang dihantar itu merupakan perkara yang tidak senonoh. Bagi mendapat kepastian perkara yang dihantar itu, dia bertanya kepada kawan baiknya. Perkataan ‘2 U’ itu membawa makna awak juga. Dengan ini, barulah dia faham perkara yang dihantar oleh kawannya melalui sistem pesanan ringkas. Dia juga memberitahu dalam usianya menjangkau 50-an, dia kurang memahami bahasa SMS yang digunakan oleh masyarakat  muda pada zaman sekarang.


                                     

Pendapat: Bahasa yang digunakan melalui sistem pesanan ringkas atau lebih dikenali sebagai bahasa SMS merupakan bahasa yang digunakan untuk memudahkan urusan menyampaikan pesanan. Walau bagaimanapun, penggunaan bahasa ini harus mengikut situasinya tertentu seperti situasi di atas, bahasa SMS sebegitu tidak sesuai ditujukan kepada golongan masyarakat yang berumur yang akan menyukarkan mereka untuk memahami perkara yang ingin disampaikan. 
Selain itu, bahasa SMS tidak sopan digunakan untuk menyampaikan pesanan kepada golongan yang mempunyai pangkat yang lebih tinggi seperti seorang pelajar dengan pensyarahnya. Bahasa ini juga harus dielakkan dalam penulisan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda negara kita.





Bahasa Pasar

Situasi 10

Pada setiap hari Sabtu, saya akan ke pasar malam di Tanjong Malim untuk membeli bekalan makanan. Pada hari tersebut, saya bercadang untuk membeli sayur untuk membuat mi goreng. Saya dan kawan terus menuju ke arah gerai menjual sayur- sayuran.

Apek: Mau beli apa, amoi manis. Manyak sayur boleh pilih.
Nurul: Mau kacang panjang dengan tomato, apek.
Apek : Mau ni saja, beli manyak boleh kasi mulah.
Nurul: Tak mau la apek, mau seikat saja.
Apek : Okeh, dua linggit.




Pendapat: Perkara yang ingin saya berkongsi dengan anda melalui situasi di atas ialah bahasa pasar yang digunakan oleh peniaga di pasar. Bahasa pasar merupakan bahasa yang menggunakan struktur ayat Melayu tetapi perkataan campuran dengan perkataan bahasa pinjaman. Bahasa pasar sesuai digunakan di pasar, perhentian bas, pasar raya, kedai makan dan lain- lain. Bahasa pasar juga tidak sesuai digunakan dalam situasi rasmi. Penggunaan bahasa pasar dalam situasi rasmi hanya merendahkan taraf seseorang itu.



Tiga dalam satu



Situasi 9

Hari ini saya ingin kongsikan perkataan yang mempunyai tiga maksud. Negara kita mempunyai kepelbagaian dialek negeri seperti dialek Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan dan banyak lagi. Pada kali ini saya ingin menceritakan kata kopek yang membawa maksud yang pelbagai berdasarkan pemahaman sesebuah masyarakat dialek.

Situasi 1
Pada musim durian yang lepas, kami yang terdiri daripada dua orang kawan dari negeri Kelantan (Nurul dan Aisyah) dan juju berasal dari Negeri Sembilan bercadang untuk mengadakan jamuan makan pulut durian secara beramai- ramai. Semasa kami bersiap menyediakan pulut durian secara bersama- sama. Perbualan yang tidak disengajakan merungkai keunikan dialek negeri Kelantan.

Rina : Nurul, kopek la buah durian tu.
Nurul dan Aisya terus ketawa.
Rina kehairanan.
Rina : Kenapa ketawa.
Nurul:sebenarnya Rina kopek bagi kami masyarakat Kelantan membawa makna payudara.
Aisyah: Ya, Rina. Kami selalu menggunakan kata koyak membawa maksud kupas.
Rina :Oo…begitu rupanya. Sekarang Rina faham.




Situasi 2
Dua orang pelancong dari Kelantan ke kedah untuk melawat tempat yang menarik ingin membeli buah tangan untuk dibawa pulang.
Pelancong Kelantan: Baju ni berapo selai, pok cik.
Pak cik penjual: RM 50 sehelai je, dik.
Pelancong Kelantan: Mahalnya, pok cik. Tok boleh kure doh ko?
Pak cik penjual: Tu dah bagi murah, dik…ala kopek besaq takkan tak boleh bayar kot.
Pelancong Kelantan: Pok cik, kato gapo? Kopek besaq,biadap pok cik nih, tok se beli aku.


Pendapat : Kata kopek mengikut pemahaman orang Kelantan memberi maksud payudara dan kadang kala member rasa sensitif kepada pendengar. Kata kopek mengikut dialek Kedah pula membawa makna dompet. Kopek mengikut bahasa standard bermaksud mengupas. Walau bagaimanapun, kata kopek boleh digunakan dengan sebaiknya mengikut situasi yang sesuai.

Saturday, 17 March 2012

Segan


Situasi 8

Situasi di dapur

Mak cik Senah: Milah, pi basuh pinggan nuh, penuh dalam sink tu.

Milah: Ala, mak…sat la, nk tengok tv ni.

Mak cik Senah: Hang ni segan la, Milah.
 ...........................................................................................................

Situasi di bilik kuliah

Lisa: Hari ini giliran kamu bentangkan pembentangan kumpulan kita, Mardiah.

Mardiah: Saya segan nak bentang, Lisa.

Lisa: Kita sebagai guru tak patut segan berhadapan dengan orang, Mardiah. Yakinlah pada diri sendiri.

Mardiah: Terima kasih, Lisa. Saya akan cuba.
....................................................................................................................................

Pendapat: Segan membawa maksud yang berbeza mengikut berdasarkan situasi dan tempat yang digunakan oleh masyarakat. Segan dalam bahasa Melayu standard membawa maksud malu. Namun, segan dalam dialek kedah membawa makna yang berbeza iaitu, malas. Penggunaan kata segan harus digunakan secara betul mengikut situasi agar tidak menimbulkan salah faham dalam kalangan kita terutamanya masyarakat Kedah yang menggunakan kata segan sebagai malas atau pemalas.


Adnan Sempit 2


Situasi 7

Semalam terdetik dihati saya untuk menonton filem Adnan Sempit 2 untuk menghiburkan hati. Setelah saya menonton, Adnan sempit merupakan kisah seorang lelaki yang bernama Adnan yang suka merempit. Walau bagaimanapun, dia berusaha untuk berubah untuk memajukan dirinya setelah mengenali Nadia, anak kepada ahli perniagaan. Mereka menghadapi halangan apabila Adnan disuruh berubah dalam masa 30 hari dengan merubah penampilannya.
Perkara yang saya perhatikan melalui filem ini ialah bahasa slanga dalam masyarakat yang dipaparkan. Filem ini juga menggunakan pelbagai bahasa slanga yang dituturkan para pelakonnya bagi menggambar tahap sosial dan bahasa seorang mat rempit  dalam kehidupan seharian.

“Woi,tak penah tengok mat rempit bersepah der,”
“Tak berubah la, der

Lu, tak boleh berputus asa”
Lu, kena berusaha”

“Tapi dia bagi satu syarat kat gua,”
“Syarat apa, der,”

Der: brother
Lu: awak
Gua: saya

Slanga menurut kamus dewan didefinisikan sebagai kata-kata, ungkapan dan seupamanya yang tidak tergolong dalam bahasa baku atau bahasa tinggi tetap lazim digunakan dalam percakapan tidak rasmi.


                               




Pendapat: Kebaikan yang diperolehi melalui tontonan filem ini, kita dapat melihat kehidupan di celah-celah masyarakat  di negara kita. Nilai kesungguhan dan kecekalan masyarakat golongan bawahan yang ingin berubah dan memajukan diri ditonjolkan dalam filem itu. Walau bagaimanapun, bahasa slanga yang digunakan dalam filem Adnan Sempit 2 mampu mempengaruhi remaja menggunakan bahasa tersebut dalam kehidupannya. Bagi golongan remaja yang jiwanya mudah terikut- ikut dengan media dan pelakon idolanya akan sering menggunakan bahasa slanga dengan rakan sebayanya untuk berkomunikasi. Penggunaan bahasa slanga der dan gua akan mengikis nilai kesopanan masyarakat kita dalam kalangan remaja. Oleh itu, media massa seharusnya menilai sesebuah filem yang bakal dihasilkan dan dipertonton kepada masyarakat terlebih dahulu supaya tidak mendatangkan impak negatif terhadap sosial masyarakat.Hal ini demikian kerana sikap masyarakat melambangkan keberadapan sesebuah negara. 

Thursday, 8 March 2012

Perkhidmatan Kaunter

Perkhidmatan kaunter yang berkualiti akan menimbulkan rasa gembira pelanggan yang datang untuk berurusan. Pagi tadi, aku ke pakan Tanjong Malim untuk memasukkan duit ke dalam akaun. Apabila aku ke kaunter untuk mendapatkan nombor giliran aku terserempak dengan seorang perempuan turut belajar di universiti yang sama denganku. Dia terus ke arah kaunter untuk menyatakan tujuannya ke bank tersebut. Walau bagaimanapun,kaunter pada masa itu telah dipenuhi pelanggan dan kelihatan kerani sedang sibuk melayani pelanggannya. Pengawal keselamatan atau gelaran sering digunakan iaitu, 'pak guard' yang berada berhampiran denganku dan gadis itu mendekatinya. Dia terus bertanya "Ya, ada apa,dik?". Gadis itu terus menjawab pertanyaan pak cik tersebut dengan mengatakan bahawa kad ATM miliknya tidak dapat dikeluar apabila menggunakan mesin ATM. Pak cik itu terus memberitahu gadis itu,"Adik, ambil borang dahulu,isikan, ambil giliran, dan nanti kerani akan panggil,". Sementara itu, dia menyuruh gadis itu duduk di ruang menunggu terlebih dahulu untuk menunggu pelanggan terdahulu selesai urusannya kerana setiap urusan memanggil masa yang agak lama untuk membuat kad ATM yang baru.

Pendapat: Perkhidmatan yang baik mampu menunjukkan nilai murni dalam diri seseorang melalui cara bersosialisasi dengan masyarakat. Berdasarkan situasi yang saya perhatian, seorang pengawal keselamatan mampu menunjukkan nilai menghormati dengan cara melayan pelanggan untuk berurusan. Dia bertanya masalah yang menimpa pelanggan dan memberitahu cara satu persatu untuk menjalankan urusan dengan bank. Pak cik berkenaan juga mengekalkan budi bicara yang sopan dan menggelakkan jawapan yang acuh tak acuh terhadap pelanggan. Selain itu, dia menyuruh pelanggan duduk dulu sebelum menunggu giliran bagi menyelesaikan urusan. Melalui situasi ini kita dapat belajar menghormati masyarakat tanpa mengira bangsa, darjat, dan agama dalam menjalankan sesuatu perkejaan dengan baik.



Kantin atau kafe


Petang tadi, saya bersama dua orang rakan telah menghadiri kuliah di kampus Sultan Azlan Syah. Kelas kami telah tamat pada pukul 1 petang dan kami mengambil keputusan untuk makan tengahari di kantin kampus Sultan Azlan Syah. Memandangkan kampus tersebut baru dibuka untuk dijadikan tempat kuliah, kami tidak mengetahui lokasi kantin di situ. Kami melihat papan tanda yang menunjukkan arah kafe namun kami tidak juga menjumpai. Dengan ini, kami mengambil keputusan untuk bertanya dua orang mak cik yang sedang menanam pokok bunga di kawasan tersebut. “Mak cik, saya nak tanya arah untuk ke kafe arah mana,?”. Dua orang Mak cik itu terpingga-pingga seakan tidak memahami pertanyaan kami. Salah seorang daripadanya menanyakan kembali kepada kami “Kafe?”. Kami mengatakan lagi “Kantin di kawasan ini, arah mana, mak cik?”. Dia menjawab “Oo, kantin rupanya, jalan terus nanti akan nampak bangunan depan tu, di situlah kantinnya”. Kami turut terpingga dengan situasi tadi. Sambil makan tengahari kami sempat berborak- borak mengenai sebab berlakunya situasi sebentar tadi.

Pendapat: Pada pandangan saya, situasi ini berlaku disebakan oleh penggunaan kosa kata yang berlainan antara dua negara iaitu, Malaysia dan Indonesia. Bagi mak cik yang berwarganegara Indonesia, mereka menggunakan kata kantin. Berkemungkinan istilah kafe kurang digunakan oleh masyarakat setempatnya. Sesetengah orang lebih senang menggunakan istilah kantin manakala terdapat juga menuturkan istilah kafe. Kafe dan kantin merupakan tempat hampir sama iaitu tempat untuk membeli makanan dan minuman.


Aku


Kata panggilan aku kadang-kadang merapatkan hubungan antara kita yang melambangkan keakraban dalam hubungan. Walau bagaimanapun, kata panggilan aku tidak sesuai dalam situasi tertentu seperti situasi rasmi untuk berurusan berdasarkan pangkat seseorang. Selain itu, kata panggilan aku dan engkau tidak sesuai digunakan dalam perbualan orang yang lebih tua daripada kita. Situasi yang saya perhatikan dalam kehidupan sosial saya berlaku apabila sahabat kami yang berumur lebih muda memanggil gelaran kepada salah seorang sahabat kami dengan gelaran kau. Kata yang dikeluarkan olehnya “Eh, kau ada buku sains tak, aku nak pinjamlah?,”kata seorang kawan yang beberapa tahun lebih muda daripadanya.

Pendapat: Berdasarkan pandangan saya, panggilan sebegitu merupakan sikap yang kurang menghormati orang lain. Bagi saya apa salahnya seseorang yang lebih tua daripada kita kita gelarkan dia dengan panggilan yang sedap didengar seperti kakak atau abang. Dengan gelaran yang diberikan mampu menjadikan diri kita lebih sopan dan beradap.


Wednesday, 7 March 2012

ENTRI 3:Dialek oh dialek


Setiap orang mempunyai dialek kenegerian masing-masing. aku juga mempunyai dialek percakapanku yang tersendiri.Mungkin kita dari negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, dan banyak lagi.Anda pula bagaimana?Apabila diriku bercakap dengan kawan yang satu negeri denganku, aku lebih suka menggunakan dialek negeri iaitu, dialek Kelantan.Bagiku dialek tersebut akan lebih merapatkan lagi hubungan persahabatan kami. Walaubagaimanapun, penggunaan dialek Kelantan ini terbawa- bawa dalam situasi formal dalam kehidupan seperti menggunakan dialek Kelantan semasa pembentangan, urusan rasmi, dan termasuk sesi pengajaran di dalam kelas. Kosa kata yang biasa digunakanku bakpo jadi gitu(kenapa jadi macam tu), pah tu(selepas itu), sayo(saya) dan lain- lain lagi.





Monday, 5 March 2012

ENTRI 2: Percampuran kod


Kebanyakan golongan ahli masyarakat yang terdiri daripada pelajar sekolah, institut pengajian tinggi, dan orang dewasa yang tinggal di kawasan bandar suka menggunakan percampuran bahasa antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Situasi ini lebih dikenali sabagai bahasa rojak dalam kalangan masyrakat kita. Keadaan ini berlaku apabila saya menonton rancangan kelolaan Faizal Ismail yang menjemput beberapa orang artis yang agak terkenal di negara kita. Soalan yang dikemukakannya dijawab oleh artis- artis tersebut dengan gaya bahasa rojak. 
Berdasarkan pemerhatian saya terdapat salah seorang daripada artis yang dijemput ke rancangan tersebut kerap menggunakan bahasa rojak ini. Sebagai contoh,“Bagi pendapat I la kan, actually kita patut..” dan “You rasa betul ke tindakan you tu..”. Mereka lebih cenderung menggunakan bahasa Melayu bercampur dengan bahasa Inggeris. Keadaan ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan artis malahan diri kita sendiri. Sebagai contoh yang terdekat,saya sebagai pelajar universiti juga sering menggunakan percakapan sedemikian seperti “Kenapa line internet ni slow sangat, nak buka facebook pun tak boleh”.

Situasi ini berlaku disebabkan oleh percampuran kod. Percampuran kod berlaku apabila kita sedang bercakap bahasa Melayu menyelitkan bahasa Inggeris. Mereka beranggapan bahawa pendengar memahami dan fasih dalam kedua- dua bahasa. Kadang- kala penutur lebih suka menyelitkan kedua-dua unsur ini untuk melicinkan percakapannya supaya lebih senang.
Berdasarkan situasi di atas pelajar akan lebih suka menyelitkan unsur bahasa Inggeris kerana mereka lebih terdedah kepada bahasa Inggeris kerana sistem pembelajaran dwibahasa, galakkan penguasaan bahasa Inggeris, nilai ekonomi kosa kata bahasa Melayu. Kosa kata bahasa Melayu yang agak panjang dan digantikan dengan kosa kata bahasa Inggeris yang pendek seperti laman muka buku kepada facebook akan lebih menyenangkan cara penyebutannya. Bagi golongan masyarakat bandar yang hidupnya lebih terdedah dengan sosioekonomi yang agak baik akan mudah menonjolkan penyelipan unsur bahasa Inggeris lain dalam percakapannya seperti yang berlaku dalam rancangan televisyen yang telah saya lihat.