Sunday, 8 April 2012

BAHASA TERBALIK


ENTRI 25
Bahasa terbalik. Apa itu bahasa terbalik? Setiap percakapan yang diujar oleh masyarakat mempunyai ragam bahasa yang tersendiri. Bahasa terbalik merupakan bahasa yang menggunakan perkataan berakas atau terbalik daripada maksud yang hendak disampaikan. Walau bagaimanapun, orang memahami maksud yang ingin disampaikan olehnya. Mengimbau kembali zaman kecil dahulu yang penuh dengan keindahan suka dan duka, kami dibesarkan lima beradik dan mempunyai umur yang agak sebaya menyebabkan ibu sukar untuk mengawasi kami ketika bermain. Pada ketika itu, anak jiran kami juga mempunyai umur yang sama denganku.
Kami selalu bermain basikal, bola, sehinggalah main masak- masak di atas pokok yang rendang di depan rumahku. Ibu selalu melarang kami bermain masak- masak di atas pokok kerana takut kami akan terjatuh. Pada suatu ketika sedang bermain adikku yang paling bongsu terjatuh dari pokok dan terus menangis. Ibu terus memarahi kami, “Kenapa nangis pergilah main lagi, pergi!,”. Selain itu, sewaktu kecil aku selalu pulang ke rumah pada waktu yang hampir senja kerana suka mengayuh basikal mengelilingi kampung, ibuku yang mahu mengajarku sengaja mengunci pintu  supaya aku tidak dapat masuk ke dalam rumah. Apabila aku merayu- rayu untuk masuk ke dalam rumah lalu dia berkata, “Pergilah kayuh basikal tu,tak payah balik rumah,”. Dengan telatah aku bersama adik- adik yang agak nakal, aku bangga dengan ibuku yang sentiasa sabar melayani kerenah anak- anaknya.Terima kasih, ibuku.

Pendapat: Bahasa terbalik ialah bahasa yang berlawanan daripada perkara yang ingin disamapaikan oleh seseorang. Melalui situasi di atas, dialog “Kenapa nangis pergilah main lagi, pergi!,” membawa maksud ibu melarang anaknya supaya jangan memanjat dan bermain di atas pokok. Pergilah kayuh basikal tu,tak payah balik rumah,”pula, membawa makna ibu menyuruh anaknya jangan pulang lewat ketika pergi bermain bersama kawan. Secara ringkas, bahasa terbalik digunakan masyarakat untuk menasihati atau melarang supaya tidak melakukan sesuatu yang tidak baik.




No comments:

Post a Comment