Monday, 30 April 2012

BAHASA SINDIRAN

ENTRI 40


BAHASA SINDIRAN
Bahasa sindiran ialah perkataan yang ditujukan maksudnya kepada seseorang dengan tidak disebutkan dengan tepat, hanya disingung dengan dikias-kiaskan atau diarahkan kepada perkara lain kerana tidak mahu menyebutnya secara berterus-terang.

SITUASI:

Lagu Raya nyayian Jalil Hamid dalam bentuk nyayian jenaka menyampaikan pesanan positif dalam bentuk sindiran. Penggunaan lirik yang berbentuk sindiran bersahaja 'KALAU KITA MALAS NAK BERPUASA KITA SAMA MACAM HANTU RAYA' dinyayikan oleh Jalil Hamid. Maksud sindiran ini bukannya ditujukan kepada orang yang uzur tetapi sengaja meninggalkan puasa. Dengan ini, sindiran melalui lagu ini mampu memberi kesan positif dan keinsafan dalam diri masyarakat. 

BAHASA HERDIK

ENTRI 39
BAHASA HERDIK
Bahasa herdik merupakan suatu ragam bahasa. Bahasa ini menyerupai bahasa tempelak namun bahasanya lebih keras dan bernada mengejek. Bahasa ini adakala digunakan dalam masyarakat yang tergolong percakapan tidak sopan. Dengan ini, penggunaan bahasa ini hendaklah dielakkan dalam komunikasi antara individu.

SITUASI:
Aku dan rakanku telah mengikuti satu program gotong-royong di kawasan perkampungan sekitar Kuala Kubu Baru. Kami telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan seperti gotong-royang membersihkan surau, memasak makanan tengah hari, dan mengecat pagar. Sewaktu aku dan beberapa rakan yang lain sedang sibuk membuat erja masing- masing, tiga orang sahabat telah meluru ke arah kami sambil memerhatikan kami membuat kerja. Walau bagaimanapun, salah daripada rakanku telah mengeluarkan ujaran berbentuk bahasa herdik.

"Kalau dah datang kemari, tak akan tak reti nak buat kerja, jangan duduk menyemak saja."




ULASAN: Berdasarkan situasi di atas bahasa herdik diujarkan sewaktu kita berasa tidak puas hati terhadap seseorang. Namun, penggunaan bahasa ini tidak sesuai digunakan dalam komunikasi kerana menunjukkan ketidaksopanan penutur. Kita boleh menegur atau menyuruh seseorang dengan cara yang baik.



BAHASA SERUAN/MENGELUH

ENTRI 38


BAHASA SERUAN ATAU MENGELUH
bahasa yang digunakan untuk mengeluarkan perasaan kecewa dan sebagainya namun tidak dilepaskan secara keseluruhan perasaan tersebut.


SITUASI:
Sempena pesta buku yang akan berlansung di PWTC, aku tidak dapat mengikuti sahabatku yang akan ke sana untuk membeli buku-buku dan bahan bacaan yang menawarkan harga yang berpatutan walaupun aku teringin hendak ke sana.


"Jom, kita pergi pesta buku hari Sabtu ni."
   "Em...tak apalah pergilah, aku tak dapat pergi..."

Seterusnya, bahasa seruan atau mengeluh sering kali diujarkan semasa kita dapat sesuatu yang dihajatkan atau diimpikan tidak tercapai. Situasi dalam kalangan pelajar yang ingin mendapat keputusan yang tinggi setelah belajar bersungguh-sungguh namun keputusannya tidak seperti yang diharapkan akan menimbulkan rasa kecewa. 

"Ah...keputusan peperiksaanku rendah lagi..."


Contoh lain: Ah...tak dapat ku gambarkan perasaan hatiku padamu.

BAHASA BUKAN

ENTRI 37
Bahasa bukan merupakan ragam bahasa yang memakan kata bukan mendahului kata yang lain. Kita sering menggunakan bahasa bukan tanpa kita sedari dalam kehidupan seharian terutamanya dalam pergaulan rakan sebaya, ibu bapa, rakan sekerja, dan ramai lagi.

Contoh penggunaan bahasa bukan dalam kehidupan seharian:
"Bukan main melaram lagi kamu ni, patutlah lambat sampai."
Kita akan menggunakan dialog di atas setelah menunggu agak lama untuk ke sesuatu tempat yang dijanjikan kerana menghabiskan masa dengan menghias diri. Kebiasannya dialog ini digunakan antara rakan sebaya.
"Bukan saya tak sudi datang ke maljlis esok."
Dialog di atas digunakan oleh seseorang untuk menyatakan rasa serba salah atau bukannya sengaja untuk tidak hadir dalam suatu majlis.
"Bukan sebarangan orang yang akan dapat anugerah itu."
Dialog tersebut biasa digunakan untuk menunjukkan rasa bangga terhadap suatu pencapaian seseorang.
"Bukan senang nak buat kerja tu."
Dialog di atas menyatakan bahawa susah melakukan pekerjaan yang disuruh yang digantikan dengan frasa 'bukan senang'.



DASAR BAHASA



ENTRI 36
DASAR BAHASA
Bahasa Melayu merupakan Bahasa Kebangsaan dalam negara yang berdaulat, Malaysia. Selain itu, bahasa Melayu juga ialah bahasa rasmi. Bahasa Melayu yang memegang bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi menjadikan bahasa ini menjadi bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan awam, bahasa pengantar, urusan surat-menyurat, laporan, bahasa ilmiah di sekolah dan institut pengajian tinggi.

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah termaktub dalam perlembagaan Malaysia. Fasa (1) Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa : 'Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang parlimen'

Menurut Profesor Asmah Haji Omar dalam bukunya "Perancangan Bahasa" dengan rujukan khusus kepada perancangan bahasa Malaysia telah mengistilahkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa yang melambangkan identiti dan kedaulatan negara.


Dasar bahasa kedua seperti di Malaysia telah menetapkan bahawa bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.



Friday, 27 April 2012

BAHASA ARKAIK

ENTRI 35
Bahasa arkaik merupakan bahasa kuno dan ketinggalan zaman. Bahasa ini tidak digunakan lagi pada zaman sekarang. (Kamus Dewan Edisi Keempat) Bahasa arkaik juga tidak akan berkembang atau dikenali bahasa mati.
CONTOH: 
  • Bahasa Sanskrit yang telah mati pada abad ke-2 Masihi. Bahasa ini digunakan di dalam suci agama Hindu seperti kitab Sama Veda, Rig Veda, dan lain-lain. Bahasa ini diajar kepada golongan Brahmin dalam keadaan tertutup dan terbatas. 
  • Bahasa Kawi, bahasa Latin, bahasa Jawa Kuno



Bahasa arkaik turut meliputi perkataan dahulu yang bersinonim dengan kuno, lama, dan usang.
  • Hatta, maka, maka sekalian, seraya, syahadan, dan lain-lain
  • "Hatta, pemergian Puteri Sa'dung ke negari Siam demi menyelamatkan negeri Serendah Sekebun Bunga."


Wednesday, 25 April 2012

BAHASA NAIK

SITUASI 34
Bahasa yang menyebutkan sesuatu daripada yang paling rendah, kemudian perlahan-lahan, langkah demi langkah naik ke atas hingga ke puncak. Bahasa ini sering kali ku dengar sewaktu ibu bapa dan saudara menasihati anak-anaknya yang masih belajar. "Belajarlah rajin-rajin, biar sampai masuk universiti, ambil master dan PHD." Selain itu, bahasa ini juga digunakan untuk menasihati anak-anak supaya berjimat."Simpanlah duit, seposen, dua posen, lama-lama jadi banyak, boleh simpan dalam bank."



Terdapat juga situasi merangkumi bahasa naik semasa seseorang sedang marah seperti "Kecik-kecik dah pandai mencuri, nanti bila dah besar mesti merompak bank."

Ulasan:
Bahasa naik merupakan bahasa yang mempunyai tingkat atau langkah demi langkah dari peringkat rendah ke atas. Bahasa ini terdapat dalam pelbagai situasi percakapan dalam masyarakat.

Tuesday, 24 April 2012

BAHASA TEMPELAK

ENTRI 33

Bahasa tempelak merupakan bahasa yang digunakan untuk mengata seseorang dengan perkataan yang tepat, tetapi dengan gaya mengajukkan keburukannya serta mempermain-mainkannya sehingga orang yang mendengar akan mentertawakannya. Kata-kata ini akan menimbulkan perasaan marah orang yang ditujukannya itu.
Bahasa tempelek juga sering berlaku dalam kehidupan seharian kita. Sebagai contoh, apabila aku melakukan perbuatan yang salah walaupun telah ditegur pada awalnya. Bahasa tempelak yang akan terkeluar dari bibir keluarga dan kawan-kawanku.
"Tu lah, orang dah cakap, jangan buat, buat juga, dah rasakan lah balasannya".



Aku juga masih teringat peristiwa, dompetku hilang kerana sewaktu singgah makan di sebuah restoran. Ibuku sudah berpesan supaya menjaga dompet dengan berhati-hati kerana bimbang akan tertinggal dompet yang ku bawa ditangan. Namun, dompetku telah tertinggal di restoran tersebut. Ibuku berkata,"Tadi mak dah cakap, jaga baik-baik dompet, nanti tertinggal,susah,orang bagi nasihat tak dengar,". Walau bagaimanapun, aku mengakui kesalahanku kerana ambil mudah nasihat ibuku.


Ulasan:
Bahasa tempelek memang sering kali diujar semasa berada dalam keadaan marah dan menimbulkan rasa tidak senang hati apabila mendengarnya. Walau bagaimanapun, bahasa tempelak juga boleh kita ambil sebagai pengajaran dalam kehidupan atas kesalahan yang dilakukan.

BAHASA DIRAJA

ENTRI 32
Bahasa diraja merupakan salah satu ciri pertuturan dan komunikasi sejak dahulu hingga sekarang. Bahasa ini mempunyai ciri khusus yang tersendiri iaitu, perbendaharaan kata dan ungkapan bahasa yang digunakan dalam keluarga diraja. Perkara ini menunjukkan keunikan dan keindahan bahasa Melayu. Bahasa diraja menjadi bahan komunikasi dalam perbualan rasmi dan tidak rasmi dalam golongan kerabat diraja.Bahasa Istana juga merupakan bahasa perhubungan dalam kalangan kerabat diraja dan rakyat jelata. 
Asmah Haji Omar (2004 :1) menggunakan istilah bahasa diraja dan mengatakan bahawa bahasa diraja ialah bahasa yang digunakan dalam perhubungan kebahasaan di mana sekurang-kurangnya salah satu pihak terdiri daripada keluarga diraja. Bahasa perhubungan antara kalangan keluarga diraja dengan rakyat jelata mempunyai ciri-ciri khusus yang menandakan perbezaan dengan bahasa orang kebanyakan. Penggunaan bahasa istana mengikut konteks, iaitu baik dalam konteks rasmi mahupun konteks tidak rasmi. Konteks rasmi, iaitu penggunaan bahasa istana dalam urusan rasmi. Sementara penggunaan tidak rasmi pula kegiatan kebahasaan antara keluarga diraja dengan rakyat jelata ketika kegiatan sosial dan kekeluargaan. 
Penggunaan bahasa mengikut konteks menghasilkan variasi bahasa. Kelainan bahasa ini menandakan perbezaan bahasa istana dengan bahasa bukan bahasa istana. Perbezaan ditandai oleh faktor sistem dan makna bahasa dalam komuniti bahasa, iaitu sebutan, kata ganti nama diri, ungkapan, kosa kata dan tatabahasa.


BAHASA DIRAJA
beradu-tidur
bersiram-mandi
istana-rumah
menjunjung kasih-terima kasih
berangkat-pergi
gering-sakit


PENGGUNAAN BAHASA DIRAJA DALAM MAJLIS FORMAL ATAU RASMI
Bahasa diraja (istana) digunakan dalam istana Raja-raja melayu terutamanya dalam majlis rasmi seperti hari keputeraan, hari pertabalan juga dalam perasmian sidang parlimen dan dewan undangan negeri.







KESANTUNAN BERBAHASA

ENTRI 31
Salah satu tugasan kumpulan subjek Sosiolinguistik kumpulan kami ialah pembentangan drama pendek. Tema yang diberikan oleh pensyarah ialah tema kesantunan berbahasa dan ketidaksantunan berbahasa dalam pelbagai situasi di pelbagai tempat seperti di dalam dewan kuliah, tempat awam, majlis, kampus dan lain- lain.
Hal ini demikian kerana kesantunan bahasa merupakan salah satu cabang bidang sosiolinguistik dalam kehidupan masyarakat sejagat. Sebenarnya, kesantunan berbahasa mempunyai rumusnya tersendiri yang dikemukakan oleh Ervan Tripp iaitu, tiga rumus sistem sapaan. Rumus ini terbahagi kepada tiga:

Rumus Alternasi   
  • Rumus yang menggunakan kaedah berkaitan dengan cara seseorang berkomunikasi ataupun cara menyapa seseorang.
  •  Mengikut rumus ini terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi dalam komunikasi seseorang iaitu, faktor pangkat,status (Yang Arif digunakan di mahkamah), dan gelaran yang diperoleh ketika bekerja atau belajar(cikgu dan doktor).  
Rumus Kejadian Bersama 
  • Berdasarkan rumus kejadian bersama, susunan rujukan kehormat haruslah disapa bersesuaian dengan tempat dan kedudukannya.
  •  Sebagai cotoh, Datuk Ismail Husin.
Rumus Perurutan   

  •  Susunan kata sapaan yang bermula dengan rujukan kehormat, gelaran yang disandang, dan nama peribadinya.
  • Yang Berbahagia Doktor Haji Rahim Samat.

Friday, 20 April 2012

IKAN MAKAN KUCING

ENTRI 30

Pada kali ini, saya ingin kongsikan keunikan dialek Kelantan yang dapat membezakan makna ayat dengan itonansi bunyi. Hal ini demikian kerana bahasa adalah pertuturan atau komunikasi untuk berhubung antara satu sama lain.Oleh itu, bahasa mempunyai banyak ragamnya.
Menurut Kamus Dewan, edisi keempat, bahasa boleh didefinisikan sebagai sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia.
Sehubungan itu, bunyi yang dikeluarkan oleh alat artikulasi atau ujaran juga mampu merubah makna ayat.
CONTOH:
Ikan makan kucing.
Makna bahasa baku: Ikan memakan kucing atau kucing dimakan ikan.
Sebutan dialek  Kelantan: IkƐ makƐ kukkcing.


ULASAN: Perbezaan itonansi dalam dialek Kelantan yang menggunakan ‘sabdu’ dalam pengucapan masyarakat lingkungannya membawa makna yang sama namun mempunyai ayat dan itonansi yang berbeza. Pengucapan nada sabdu dalam ayat IkƐ makƐ kukkcing tetap membawa makna ikan dimakan kucing mengikut itonansi suara yang berbeza ketika menyebutnya mengikut dialek Kelantan.

Selamat belajar cara penyebutan dialek Kelantan=)


SAYANG,SAYANG,SAYANG...

ENTRI 29
BAHASA BERULANG
Salah satu bahasa berulang yang sangat aku ingati sampai ke saat ini ialah bahasa berulang 'Sayang, sayang, sayang sayang sayang. Kenangan ini bermula sewaktu aku darjah enam, sekolah kami telah menjemput seorang penceramah untuk mata pelajaran Bahasa Melayu bagi pelajar UPSR. Semasa mendengar ceramah untuk menggelakkan rasa mengantuk dalam kalangan pelajar, penceramah tersebut telah bertanya soalan kepada kami.

Penceramah: Murid-murid sekalian, cikgu nak main teka-teki dengan kamu semua, nak tak?
Pelajar: Nak,nak.
Penceramah: Saya nak kamu reka satu perkataan dalam satu ayat.
Pada masa itu, aku dan kawan-kawan sibuk mencari jawapan untuk menjawab soalan penceramah itu. Aku dan kawan- kawan, ada yang menjawab dengan jawapan kuku kakiku. Walau bagaimanapun, jawapan tersebut salah kerana mempunyai tiga kata. 
Pelajar: Cikgu, kami nak tahu jawapannya.
Penceramah: Jawapannya senang sahaja, murid-muridku. Sayang, sayang, sayang sayang sayang. Senangkan. Haha.
Pelajar: Betul juga kan.Hahaha...

Ulasan: Walaupun situasi di atas antara jenaka seorang guru bersama anak muridnya, namun kenangan itu mampu membawa makna dalam hidup pelajarnya. Bahasa yang diujarkan atau teka-teki yang ditujukan penceramah tersebut merupakan bahasa berulang yang bertujuan memberi penekanan, menguatkan maksud atau tujuannya. Contoh bahasa berulang yang lain ialah "Ling, ling, marilah ling".

BAHASA MERAJUK

ENTRI 28

Bahasa merajuk sering diujarkan oleh orang yang kecewa dan berkecil hati dengan kita. Perkara ini disebabkan  situasi tertentu yang menyinggungnya perasaannya. Bahasa merajuk dapat difahami dengan tingkah laku dan bahasa yang barbaur kecewa daripada seseorang itu.
Situasi ini juga sering didengari dan berlaku dalam kehidupan saya sebagai manusia biasa. Hal ini demikian kerana kadangkala kita tidak dapat memuaskan hati semua orang.

Contoh bahasa merajuk: 
Situasi 1
A:Pergi makan tak ajak aku sekali.
B: Aku tak ingatlah, maafkan aku.
A: Em, tak apa.Aku kan bukan kawan baik kau.

Situasi 2
A: Majlis tu, ramai orang dijemput, tapi kita dia tak jemput pun.
B:Siapalah kita dia nak jemput. Dia jemput orang berpangkat saja.

Ulasan:
Bahasa merajuk sering terdapat dalam kehidupan yang kita yang kadangkala tanpa kita sedar, kita mengujarkan bahasa tersebut bersama nada yang agak kecewa. Oleh itu, kita harus saling bertolak ansur dan sentiasa menjaga perasaan orang agar hubungan sillaturrahim sentiasa terjaga.


BAHASA RAHSIA

ENTRI 27
BAMAHASAMA RAHMAHSIMIAMA
Apabila teringat zaman persekolahan dahulu, saya akan ketawa kecil keseorangan. Banyak kenangan dan kerenah saya bersama- sama teman sekampung sewaktu alam persekolahan. Salah satu kenangan yang tidak luput daripada kamus ingatan saya ialah bahasa rahsia yang kami gunakan untuk menyembunyikan maksud yang ingin disampaikan. Saya dan tiga orang teman rapat akan menggunakan bahasa rahsia apabila ingin mengungkapkan sesuatu benda yang peribadi agar orang lain tidak memahaminya.  Kadang kala bunyi sebutan bahasa rahsia agak panjang dan pelik namun kami gembira bila menyebutnya.

Antara bahasa rahsia yang masih segar dalam ingatan seperti:
Setiap suku kata ditambah huruf 'f '
Safayafa teferifinginfin nakfak mafakanfan mafasakfak lefemak cilfilifi pafadifi.
Maksud: Saya teringin nak makan lemak cili api.


Saya suka main bola.
Suku kata ditambah huruf 'm'
Maksud:Samayama sumakama mamainma bomalama.






Tuesday, 17 April 2012

‘Siapa yang makan cili, dialah terasa pedas’



ENTRI 26

‘Siapa yang makan cili, dia akan terasa pedasnya’, ungakapan yang kadangkala sangat menyentuh hati apabila mendengarnya. Hal ini demikian kerana kita tidak dapat lari dari kenyataan hidup yang penuh dengan pelbagai ragam manusia dan karenah. Pernahkah anda mendengar ungkapan ini dicorong telinga anda? Adakah ungkapan ini ditujukan kepada anda? Bagaimanakah pula perasaan anda apabila mendengarnya? Adakah anda benar-benar memahami maksud yang ingin disampaikan? Berdasarkan pengalaman saya perjalanan menyelusuri sketsa kehidupan duniawi, ungkapan ini ditujukan kepada seseorang yang membawa maksud sesiapa yang melakukan sesuatu perkara yang dimaksudkan, maka dia akan terasa kesannya. Saya juga pernah mendapat sindiran sebegini yang ditujukan secara rawak, namun kita akan terasa bahang ungkapan itu setelah memahami perkara yang ingin dilontarkan oleh penuturnya.



Adakalanya, kita sering melihat pelbagai ragam manusia yang menimbulkan rasa marah, tidak puas hati, benci, dan lain-lain perasaan. Kita akan melontarkan perasaan itu melalui kata-kata halus iaitu, bahasa kiasan untuk menjaga kesopanan dalam masyarakat. Ungkapan Tua tak sedar diri, rumah dah kata pergi, kubur dah kata mari, tapi masih macam orang muda' sering terkeluar oleh diriku dan rakan-rakan apabila melihat orang yang sudah berumur namun masih berperangai tidak sopan terutama di depan khalayak.
Sebenarnya, perkataan yang digunakan untuk mengata, mengejek, mengeji atau mencela seseorang ialah sindiran. Sindiran dilakukan tanpa berterus-terang.  Bahasa sindiran mengandungi maksud yang ditujukan kepada seseorang namun tidak disebutkan secara tepat. Jenis bahasa ini hanya disinggung atau dikias-kiaskan kepada perkara yang lain kerana tidak mahu disebut secara berterus terang. Sifat tidak suka berterus-terang menjadi amalan biasa dalam masyarakat orang Melayu kerana mereka berpegang kuat pada prinsip menjaga hati orang lain. 
Oleh sebab itu, mereka menggunakan bahasa sindiran untuk menyatakan sesuatu yang terbuku di hati, atau melepaskan perasaan tidak puas hati terhadap sesuatu yang tidak menyenangkan. Perkara seperti ini dilakukan secara tidak berterus-terang dan penuh hormat. Dengan menggunakan susun kata yang teratur serta bahasa yang beragam, sindiran ini dapat memainkan peranannya yang tersendiri dalam menyedarkan orang yang disindir itu. Perkataan yang berlandaskan ragam sindiran lebih tajam dan lebih pedih kesannya, tetapi kadang-kadang, bahasa sindiran itu tidak pula memberikan apa-apa makna kepada orang yang disindir. Walau bagaimanapun, bahasa yang dikiaskan secara sindiran akan difahami juga oleh orang yang disindir.

Sunday, 8 April 2012

BAHASA TERBALIK


ENTRI 25
Bahasa terbalik. Apa itu bahasa terbalik? Setiap percakapan yang diujar oleh masyarakat mempunyai ragam bahasa yang tersendiri. Bahasa terbalik merupakan bahasa yang menggunakan perkataan berakas atau terbalik daripada maksud yang hendak disampaikan. Walau bagaimanapun, orang memahami maksud yang ingin disampaikan olehnya. Mengimbau kembali zaman kecil dahulu yang penuh dengan keindahan suka dan duka, kami dibesarkan lima beradik dan mempunyai umur yang agak sebaya menyebabkan ibu sukar untuk mengawasi kami ketika bermain. Pada ketika itu, anak jiran kami juga mempunyai umur yang sama denganku.
Kami selalu bermain basikal, bola, sehinggalah main masak- masak di atas pokok yang rendang di depan rumahku. Ibu selalu melarang kami bermain masak- masak di atas pokok kerana takut kami akan terjatuh. Pada suatu ketika sedang bermain adikku yang paling bongsu terjatuh dari pokok dan terus menangis. Ibu terus memarahi kami, “Kenapa nangis pergilah main lagi, pergi!,”. Selain itu, sewaktu kecil aku selalu pulang ke rumah pada waktu yang hampir senja kerana suka mengayuh basikal mengelilingi kampung, ibuku yang mahu mengajarku sengaja mengunci pintu  supaya aku tidak dapat masuk ke dalam rumah. Apabila aku merayu- rayu untuk masuk ke dalam rumah lalu dia berkata, “Pergilah kayuh basikal tu,tak payah balik rumah,”. Dengan telatah aku bersama adik- adik yang agak nakal, aku bangga dengan ibuku yang sentiasa sabar melayani kerenah anak- anaknya.Terima kasih, ibuku.

Pendapat: Bahasa terbalik ialah bahasa yang berlawanan daripada perkara yang ingin disamapaikan oleh seseorang. Melalui situasi di atas, dialog “Kenapa nangis pergilah main lagi, pergi!,” membawa maksud ibu melarang anaknya supaya jangan memanjat dan bermain di atas pokok. Pergilah kayuh basikal tu,tak payah balik rumah,”pula, membawa makna ibu menyuruh anaknya jangan pulang lewat ketika pergi bermain bersama kawan. Secara ringkas, bahasa terbalik digunakan masyarakat untuk menasihati atau melarang supaya tidak melakukan sesuatu yang tidak baik.




Thursday, 5 April 2012

BAHASA HALUS

ENTRI 24
Bahasa halus ialah bahasa atau perkataan lain yang lebih lembut yang digunakan untuk menggantikan perkataan yang dikatakan kasar atau menyentuh perasaan orang lain. (Kamus Dewan Edisi Keempat). Oleh itu, perkongsian saya pada kali ini adalah situasi berkaitan penggunaan bahasa halus dalam kehidupan. Situasi ini terjadi apabila pensyarah kelas kami bertanyakan  sebab salah seorang pelajar yang tidak hadir pada hari tersebut. Dengan spontan, seorang rakan kelas kami mengatakan bahawa dia tidak dapat hadir disebabkan oleh ibunya mati. Bagi pandangan saya, kata mati agak kasar untuk ditujukan kepada manusia yang telah meninggal. Sehubungan itu, kata yang sesuai digunakan menggantikan kata mati ialah "Dia tidak dapat hadir ke kelas kerana ibunya meninggal dunia."


CIRI-CIRI BAHASA HALUS 

Bahasa halus merupakan suatu
sistem bahasa yang beradat,
bersopan santun dan berbudaya
tinggi.
                                
Kata ganti nama
sopan santun adalah 
ayahanda, bonda,
anakanda, kakanda,
adinda, dan nenda.

Bahasa halus juga nama yang lengkap, sopan, 
pengucapan lembut dan menimbulkan kemesraan.


CONTOH
                                                                                                                       
Bahasa kasar
Bahasa halus
Mati/mampus
Meninggal dunia / pulang ke rahmatullah
Orang gaji
Pembantu rumah
Jaga
Pengawal keselamatan
Jamban
Tandas
Kencing
Buang air kecil
Bini
Orang rumah
Melantak
Makan
         












BAG PLASTIK

ENTRI 23
Dialek Kelantan mempunyai banyak keunikan yang tersendiri. Saya sebagai anak jati kelahiran Kelantan sangat bertuah kerana dapat mempelajari pelbagai kata yang menarik dalam dialek Kelantan. Tahukah anda panggilan bag plastik dalam dialek Kelantan. Panggilan yang kami gelarkan pada bag plastik ialah supik rograt dan supik gelenya. Jikalau anda yang lahir di negara pantai Barat mesti merasakan bunyi kata ini agak pelik. Kedua- dua panggilan itu diberikan mempunyai sebabnya yang tersendiri.

Supik rograt diberi gelaran berdasarkan onomatopia sifat plastik yang berbunyi apabila anda menyentuhnya. Anda boleh cuba menyentuh bag plastik yang berada di tempat tinggal anda untuk mendengar bunyi apabila menyentuhnya.


Supik gelenya merupakan gelaran diberikan terhadap bag plastik berdasarkan kiasan dialek Kelantan kerana sifatnya yang mudah berbunyi apabila disentuh.



Kedua- dua gelaran tersebut agak unik gelarannya dan mempunyai sebab yang tersendiri. Oleh itu, kita harus saling mempelajari dan mendalami keunikan bahasa dan dialek yang terdapat di negara kita.

MARI BERPANTUN BERSAMA UPIN, IPIN DAN KAWAN-KAWAN

ENTRI 22
Ramai kanak-kanak meminati drama Upin dan Ipin. Saya sebagai golongan dewasa juga meminati drama ini. Anda pula bagaimana?Pernahkah anda menonton drama ini bersama adik- beradik, kawan, saudara dan sebagainya. Drama ini mempunyai pelbagai kelebihan yang tersendiri kerana banyak menyelitkan unsur humor, budaya kaum lain dan kehidupan masyarakat di negara kita. Pada kali saya, saya ingin berkongsi salah satu keunikan yang terselit dalam drama ini iaitu, cara penyampaian unsur kesenian dan sastera melalui pantun yang selalu disampaikan oleh Jirjit. Mari kita mengintai pantun yang sering dipersembahkan Jirjit dalam drama Upin Ipin.

Jirjit
Dua tiga burung kenari,
Apa hajat tuan hamba kemari,

Dua tiga kapal terbang,
Lanun mana yang paling garang,

Mail
Dua tiga kucing berlari,
Dua singgit mana nak cari,

Upin dan Ipin
Pergi kedai beli barang,
Kak ros la yang paling garang,









Monday, 2 April 2012

PERIBAHASA

ENTRI 21
Peribahasa
Tanam lalang tak akan tumbuh padi
Maksud: Kejahatan akan dibalas dengan kejahatan sebagai balasan
"Segala susunan cakap yang pendek yang telah melekat di mulut orang ramai setelah beberapa lama oleh sebab sedap dan bijak perkataannya, luas dan benar tujuannya-dipakai akan dia jadi sebutan- sebutan oleh orang sebagai bandingan, teladan, dan pengajaran."Za'ba (1965:65)
Simpulan bahasa
Senapang buluh
Makna simpulan bahasa iaitu, cakap besar yang tidak berisi dan berfaedah.
Abdullah Yusof et al. (2009: 117), simpulan bahasa juga disebut sebagai ungkapan, iaitu rangkaian perkataan yang tetap bersimpul atau terbeku dengan susunan yang khas dan dipakai dengan erti yang berlaian daripada asal. Simpulan bahasa juga merupakan salah satu jenis peribahasa yang sangat luas digunakan serta diminati oleh masyarakat Melayu.
Perupamaan 
Getah meleleh ke pangkal, daun melayang jauh
Perhatian serta kasih sayang seseorang lebih kepada saudara-maranya sendiri daripada orang lain. 
Abdullah Hassan (1993:909) mentakrifkan perupamaan sebagai perbandingan makna yang sangat jelas. Hal ini kerana perupamaan didahului oleh perkataan-perkataan seperti seolah- olah, ibarat, bak, seperti, laksana, macam, bagai dan umpama.
Pepatah


Acang-acang dalam negeri
Orang yang mendapat kepercayaan daripada penduduk setempat kerana kejujurannya.
Abdullah Yusof (2009:133), pepatah merupakan salah satu daripada jenis peribahasa. pepatah dilihat seakan- akan sama dengan bidalan. Namun, pepatah mempunyai sifat rangkaian kata-kata yang berkerat- kerat atau berpatah- patah, tetapi mengandungi unsur pengajaran.
Seloka
Sejenis puisi melayu traditional yang berbentuk karanagn berangkap yang mengandungi unsur ejekan,giatan,sindiran,jenaka atau gurau senda dan digunakan untuk menyindir sambil belajar (Nik Hassan Basri Nik Ab Kadir,2005a:376-377)
buah pinang buah belimbing,
ketiga dengan si buah mangga,
sungguh senang berbini sumbing,
walau marah ketawa juga.
Bidalan
Bidalan lebih memberatkan tentang sifat melekatnya di mulut orang ramai dan tentang bandingan dan teladan yang ada di dalamnya.Za'ba(2002:170)
Bawa resmi padai,makin berisi makin ruduk
Tamsilan
Tamsilan ialah peribahasa yang menyebut sesuatu maksud dengan diupamakn atau dikiaskan kepada sesuatu perkara lain dan ertinya menjadi dual lapis.Za'ba(2002:170)
Seperti bulan di pagar bintang
Teromba
Teromba ialah sejenis tambo berbentuk prosa berirama dan kadang-kadang bercerita. Adakalanya teromba berisi penuturan tentang adat istiadat.Abdul Rozak Zaidan,(1994:204)
Kata Pujangga
Perkataan orang yang bijak pandai yang mengandungi pergertian yang tinggi.
                                                                       Gurindam
Sajak dua baris yang berisi nasihat dan pengajaran, bergurindam membaca atau menyebut gurindam (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Perbilangan
Peribahasa yang melahirkan kata-kata yang sudah menjadi peraturan, undang-undang atau nasihat yang dijadikan pegangan.(Kamus Dewan Edisi Keempat)
Hadis Melayu
Hadis Melayu adalah perkataan yang bukan bersandar atau disabdakan oleh rasulullah. s.a.w. ia adalah ungkapan mengenai sesuatu perkara yang kebanyakannya diambil daripada kitab-kitab jawi lama atau banyak merujuk buku terjemahan dalam bahasa melayu tanpa merujuk kepada naskah asal bahasa arabnya. (Roslan Mohamed,pensyarah Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya~Utusan Malaysia 27 Jun 2006)
Contoh:Melarang kanak- kanak kecil yang belum baligh  berada dalam satu saf yang sama dengan orang dewasa semasa bersolat.
Alasan:Kanak-kanak masih najis kerana belum berkhatan. Takrifan najis dalam masyarakat amat berat sedangkan dalam Islam kanak-kanak yang belum berkhatan adalah bersih jika mengenakan pakaian bersih kecuali mereka membuang air kecil atau besar.






Sunday, 1 April 2012

"MAAF"

ENTRI 20

Maaf, kak sebaiknya saya sarankan...
Maaf,ya pak cik sila bayar dahulu...
Maaf, dik. kedai kami tutup pada pukul 8 malam...

Menyebut kata maaf tidak semestinya kita membuat salah. Kenapa kata maaf diucapkan dalam situasi ayat di atas?Hal ini demikian kerana kata maaf kadangkala boleh menjadi kata azimat dalam percakapan. Walau bagaimanapun, kata maaf tidak sesuai diujarkan beberapa kali dalam suatu situasi. 


Selain itu, ujaran kata maaf apabila kita berbuat salah penting untuk menyelamatkan situasi buruk berlaku. Hal ini demikian kerana kita sebagai manusia biasa tidak lari daripada membuat kesalahan. Dengan ungkapan kata maaf dapat membaiki keadaan yang tegang.

Maaf, saya tidak sengaja...
Maaf, saya tidak mengulanginya lagi...

Pendapat: Ungkapan kata maaf berdasarkan dua situasi di atas tidak akan menjatuhkan harga diri seseorang. Namun, kata maaf tidak boleh selalu diucapkan dan boleh diucapkan sekadar sekali sahaja dalam satu situasi. Hal ini demikian kerana kata maaf merupakan kata yang bermakna bukannya sebagai gurauan. Ujaran kata maaf yang terkeluar daripada mulut kita mampu mengubah keadaan menjadi tenang dan dapat mengeratkan hubungan sillaturrahim antara sejagat.

Pemujukan

ENTRI 19
Assalamualaikum dan salam sejahtera....

Dalam kehidupan seharian, adakala kita tidak dapat lari daripada teknik pemujukan untuk mendapatkan kepentingan tertentu. Teknik pemujukan yang saya ingin kongsikan bersama anda adalah pemujukan yang berlaku apabila kita berkunjung ke pasar raya. Ramai jurujual yang akan akan cuba mempromosikan pelbagai barangan yang dijual. Kerap kali saya berkunjung ke pasar raya, jurujual akan cuba menarik perhatian saya untuk membeli barangannya. Situasi ini berlaku apabila saya ke sebuah pasar raya di pekan Tanjong Malim untuk membeli barangan dapur. Tiba- tiba hati saya terdetik untuk ke bahagian alat kosmetik. Apabila saya ke bahagian itu, jurujual terus bertanyakan soalan yang membuat saya terkejut.

Jurujual: Dik, muka ada tumbuh jerawat tu.
Nurul: Ye, saya tahu.
Jurujual:Akak tengok kulit muka adik ni jenis berminyak sebab tu, senang tumbuh jerawat.
Nurul:Yeke.
Jurujual: Ambiklah produk ni sesuai dengan kulit muka adik.



Pemujukan~pengaruhan yang menggunakan bahasa pujukan untuk mempengaruhi pemikiran dan keyakinan orang lain agar mempercayai sesuatu perkara yang dikatakan.(Syarifah Nor Syed Abd. Rahman et.al,2007)

Pendapat: Kebanyakan peniaga atau jurujual akan mencuba sedaya upaya untuk mempengaruhi orang ramai untuk membeli barangan yang tawarkan. Walaupun, teknik ini kadangkala nampak senang dan merimaskan namun pemujukan memerlukan kepakaran, persediaan, maklumat, dan rayuan yang baik agar dapat mempengaruhi minat pembeli. Berdasarkan situasi saya itu, mereka akan cuba menarik perhatian saya dengan mengumpan produk yang dijual apabila melihat kulit saya berjerawat.