Friday, 27 April 2012

BAHASA ARKAIK

ENTRI 35
Bahasa arkaik merupakan bahasa kuno dan ketinggalan zaman. Bahasa ini tidak digunakan lagi pada zaman sekarang. (Kamus Dewan Edisi Keempat) Bahasa arkaik juga tidak akan berkembang atau dikenali bahasa mati.
CONTOH: 
  • Bahasa Sanskrit yang telah mati pada abad ke-2 Masihi. Bahasa ini digunakan di dalam suci agama Hindu seperti kitab Sama Veda, Rig Veda, dan lain-lain. Bahasa ini diajar kepada golongan Brahmin dalam keadaan tertutup dan terbatas. 
  • Bahasa Kawi, bahasa Latin, bahasa Jawa Kuno



Bahasa arkaik turut meliputi perkataan dahulu yang bersinonim dengan kuno, lama, dan usang.
  • Hatta, maka, maka sekalian, seraya, syahadan, dan lain-lain
  • "Hatta, pemergian Puteri Sa'dung ke negari Siam demi menyelamatkan negeri Serendah Sekebun Bunga."


Wednesday, 25 April 2012

BAHASA NAIK

SITUASI 34
Bahasa yang menyebutkan sesuatu daripada yang paling rendah, kemudian perlahan-lahan, langkah demi langkah naik ke atas hingga ke puncak. Bahasa ini sering kali ku dengar sewaktu ibu bapa dan saudara menasihati anak-anaknya yang masih belajar. "Belajarlah rajin-rajin, biar sampai masuk universiti, ambil master dan PHD." Selain itu, bahasa ini juga digunakan untuk menasihati anak-anak supaya berjimat."Simpanlah duit, seposen, dua posen, lama-lama jadi banyak, boleh simpan dalam bank."



Terdapat juga situasi merangkumi bahasa naik semasa seseorang sedang marah seperti "Kecik-kecik dah pandai mencuri, nanti bila dah besar mesti merompak bank."

Ulasan:
Bahasa naik merupakan bahasa yang mempunyai tingkat atau langkah demi langkah dari peringkat rendah ke atas. Bahasa ini terdapat dalam pelbagai situasi percakapan dalam masyarakat.

Tuesday, 24 April 2012

BAHASA TEMPELAK

ENTRI 33

Bahasa tempelak merupakan bahasa yang digunakan untuk mengata seseorang dengan perkataan yang tepat, tetapi dengan gaya mengajukkan keburukannya serta mempermain-mainkannya sehingga orang yang mendengar akan mentertawakannya. Kata-kata ini akan menimbulkan perasaan marah orang yang ditujukannya itu.
Bahasa tempelek juga sering berlaku dalam kehidupan seharian kita. Sebagai contoh, apabila aku melakukan perbuatan yang salah walaupun telah ditegur pada awalnya. Bahasa tempelak yang akan terkeluar dari bibir keluarga dan kawan-kawanku.
"Tu lah, orang dah cakap, jangan buat, buat juga, dah rasakan lah balasannya".



Aku juga masih teringat peristiwa, dompetku hilang kerana sewaktu singgah makan di sebuah restoran. Ibuku sudah berpesan supaya menjaga dompet dengan berhati-hati kerana bimbang akan tertinggal dompet yang ku bawa ditangan. Namun, dompetku telah tertinggal di restoran tersebut. Ibuku berkata,"Tadi mak dah cakap, jaga baik-baik dompet, nanti tertinggal,susah,orang bagi nasihat tak dengar,". Walau bagaimanapun, aku mengakui kesalahanku kerana ambil mudah nasihat ibuku.


Ulasan:
Bahasa tempelek memang sering kali diujar semasa berada dalam keadaan marah dan menimbulkan rasa tidak senang hati apabila mendengarnya. Walau bagaimanapun, bahasa tempelak juga boleh kita ambil sebagai pengajaran dalam kehidupan atas kesalahan yang dilakukan.

BAHASA DIRAJA

ENTRI 32
Bahasa diraja merupakan salah satu ciri pertuturan dan komunikasi sejak dahulu hingga sekarang. Bahasa ini mempunyai ciri khusus yang tersendiri iaitu, perbendaharaan kata dan ungkapan bahasa yang digunakan dalam keluarga diraja. Perkara ini menunjukkan keunikan dan keindahan bahasa Melayu. Bahasa diraja menjadi bahan komunikasi dalam perbualan rasmi dan tidak rasmi dalam golongan kerabat diraja.Bahasa Istana juga merupakan bahasa perhubungan dalam kalangan kerabat diraja dan rakyat jelata. 
Asmah Haji Omar (2004 :1) menggunakan istilah bahasa diraja dan mengatakan bahawa bahasa diraja ialah bahasa yang digunakan dalam perhubungan kebahasaan di mana sekurang-kurangnya salah satu pihak terdiri daripada keluarga diraja. Bahasa perhubungan antara kalangan keluarga diraja dengan rakyat jelata mempunyai ciri-ciri khusus yang menandakan perbezaan dengan bahasa orang kebanyakan. Penggunaan bahasa istana mengikut konteks, iaitu baik dalam konteks rasmi mahupun konteks tidak rasmi. Konteks rasmi, iaitu penggunaan bahasa istana dalam urusan rasmi. Sementara penggunaan tidak rasmi pula kegiatan kebahasaan antara keluarga diraja dengan rakyat jelata ketika kegiatan sosial dan kekeluargaan. 
Penggunaan bahasa mengikut konteks menghasilkan variasi bahasa. Kelainan bahasa ini menandakan perbezaan bahasa istana dengan bahasa bukan bahasa istana. Perbezaan ditandai oleh faktor sistem dan makna bahasa dalam komuniti bahasa, iaitu sebutan, kata ganti nama diri, ungkapan, kosa kata dan tatabahasa.


BAHASA DIRAJA
beradu-tidur
bersiram-mandi
istana-rumah
menjunjung kasih-terima kasih
berangkat-pergi
gering-sakit


PENGGUNAAN BAHASA DIRAJA DALAM MAJLIS FORMAL ATAU RASMI
Bahasa diraja (istana) digunakan dalam istana Raja-raja melayu terutamanya dalam majlis rasmi seperti hari keputeraan, hari pertabalan juga dalam perasmian sidang parlimen dan dewan undangan negeri.







KESANTUNAN BERBAHASA

ENTRI 31
Salah satu tugasan kumpulan subjek Sosiolinguistik kumpulan kami ialah pembentangan drama pendek. Tema yang diberikan oleh pensyarah ialah tema kesantunan berbahasa dan ketidaksantunan berbahasa dalam pelbagai situasi di pelbagai tempat seperti di dalam dewan kuliah, tempat awam, majlis, kampus dan lain- lain.
Hal ini demikian kerana kesantunan bahasa merupakan salah satu cabang bidang sosiolinguistik dalam kehidupan masyarakat sejagat. Sebenarnya, kesantunan berbahasa mempunyai rumusnya tersendiri yang dikemukakan oleh Ervan Tripp iaitu, tiga rumus sistem sapaan. Rumus ini terbahagi kepada tiga:

Rumus Alternasi   
  • Rumus yang menggunakan kaedah berkaitan dengan cara seseorang berkomunikasi ataupun cara menyapa seseorang.
  •  Mengikut rumus ini terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi dalam komunikasi seseorang iaitu, faktor pangkat,status (Yang Arif digunakan di mahkamah), dan gelaran yang diperoleh ketika bekerja atau belajar(cikgu dan doktor).  
Rumus Kejadian Bersama 
  • Berdasarkan rumus kejadian bersama, susunan rujukan kehormat haruslah disapa bersesuaian dengan tempat dan kedudukannya.
  •  Sebagai cotoh, Datuk Ismail Husin.
Rumus Perurutan   

  •  Susunan kata sapaan yang bermula dengan rujukan kehormat, gelaran yang disandang, dan nama peribadinya.
  • Yang Berbahagia Doktor Haji Rahim Samat.

Friday, 20 April 2012

IKAN MAKAN KUCING

ENTRI 30

Pada kali ini, saya ingin kongsikan keunikan dialek Kelantan yang dapat membezakan makna ayat dengan itonansi bunyi. Hal ini demikian kerana bahasa adalah pertuturan atau komunikasi untuk berhubung antara satu sama lain.Oleh itu, bahasa mempunyai banyak ragamnya.
Menurut Kamus Dewan, edisi keempat, bahasa boleh didefinisikan sebagai sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia.
Sehubungan itu, bunyi yang dikeluarkan oleh alat artikulasi atau ujaran juga mampu merubah makna ayat.
CONTOH:
Ikan makan kucing.
Makna bahasa baku: Ikan memakan kucing atau kucing dimakan ikan.
Sebutan dialek  Kelantan: IkƐ makƐ kukkcing.


ULASAN: Perbezaan itonansi dalam dialek Kelantan yang menggunakan ‘sabdu’ dalam pengucapan masyarakat lingkungannya membawa makna yang sama namun mempunyai ayat dan itonansi yang berbeza. Pengucapan nada sabdu dalam ayat IkƐ makƐ kukkcing tetap membawa makna ikan dimakan kucing mengikut itonansi suara yang berbeza ketika menyebutnya mengikut dialek Kelantan.

Selamat belajar cara penyebutan dialek Kelantan=)


SAYANG,SAYANG,SAYANG...

ENTRI 29
BAHASA BERULANG
Salah satu bahasa berulang yang sangat aku ingati sampai ke saat ini ialah bahasa berulang 'Sayang, sayang, sayang sayang sayang. Kenangan ini bermula sewaktu aku darjah enam, sekolah kami telah menjemput seorang penceramah untuk mata pelajaran Bahasa Melayu bagi pelajar UPSR. Semasa mendengar ceramah untuk menggelakkan rasa mengantuk dalam kalangan pelajar, penceramah tersebut telah bertanya soalan kepada kami.

Penceramah: Murid-murid sekalian, cikgu nak main teka-teki dengan kamu semua, nak tak?
Pelajar: Nak,nak.
Penceramah: Saya nak kamu reka satu perkataan dalam satu ayat.
Pada masa itu, aku dan kawan-kawan sibuk mencari jawapan untuk menjawab soalan penceramah itu. Aku dan kawan- kawan, ada yang menjawab dengan jawapan kuku kakiku. Walau bagaimanapun, jawapan tersebut salah kerana mempunyai tiga kata. 
Pelajar: Cikgu, kami nak tahu jawapannya.
Penceramah: Jawapannya senang sahaja, murid-muridku. Sayang, sayang, sayang sayang sayang. Senangkan. Haha.
Pelajar: Betul juga kan.Hahaha...

Ulasan: Walaupun situasi di atas antara jenaka seorang guru bersama anak muridnya, namun kenangan itu mampu membawa makna dalam hidup pelajarnya. Bahasa yang diujarkan atau teka-teki yang ditujukan penceramah tersebut merupakan bahasa berulang yang bertujuan memberi penekanan, menguatkan maksud atau tujuannya. Contoh bahasa berulang yang lain ialah "Ling, ling, marilah ling".